Polis: Hanya Rawatan Biasa, Wanita Itu Tidaklah (Mental) Seperti Didakwa

Sejak semalam rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera.

Terbaru, polis mengesahkan ibu kandung kepada kanak-kanak berkenaan pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata suspek berusia 32 tahun itu hanya mendapatkan rawatan biasa dan bukan disahkan sebagai pesakit mental.

“Ya, suspek pernah mendapatkan rawatan, tetapi sudah lama iaitu pada 2019 dan rawatan itu diterima di Hospital Melaka, namun hanya rawatan biasa yang mana wanita itu tidaklah (mental) seperti didakwa,” katanya.

Semalam, ibu kandung kanak-kanak berkenaan dan bapa tirinya direman tujuh hari sehingga 5 Februari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

SUMBER: Harian Metro