Prihatin Ramai Tak Mampu Beli Rumah, Co-opbank Pertama Tawar Pembiayaan Cecah RM10 Juta

KUALA LUMPUR: Soal kemampuan rakyat Malaysia memiliki kediaman bukanlah isu baharu bahkan sering dibahaskan setiap masa oleh semua lapisan masyarakat.

Walaupun kerajaan berhempas-pulas membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman sendiri menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pengecualian cukai keuntungan hartanah (RPGT) bagi hartanah melebihi lima tahun, sebenarnya ia masih tidak mencukupi.

Laporan PropertyGuru sebelum ini menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri, termasuk menerusi skim perumahan yang ditawarkan kerajaan disebabkan pelbagai faktor yang menjurus kepada aspek kewangan.

Justeru, Co-opbank Pertama (CBP) turut mengambil inisiatif menawarkan pembiayaan perumahan-i Al-Amali berkonsepkan Murabahah Tawarruq.

Malah lebih istimewa, jumlah dan had pembiayaan ditawarkan mencecah sehingga RM10 juta.

“Ini antara usaha CBP untuk membantu orang ramai memiliki rumah dengan kadar serendah 3.25 peratus dengan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun.

“Jenis pembiayaan yang kami tawarkan termasuklah dalam kategori rumah siap, dalam pembinaan, dan lelongan.

“Tidak ketinggalan kategori yang ditawarkan merangkumi pembiayaan semula baki pembiayaan rumah dan mencagar semula rumah,” kata CBP menerusi satu kenyataan.

Menerusi kenyataan itu lagi, CBP menawarkan pembiayaan perumahan ini khusus untuk warganegara Malaysia.

“Mereka yang memohon termasuklah yang bekerja sendiri atau berniaga dan dapat membuktikan pendapatan bulanan yang kukuh dan stabil.

“Umur pemohon juga adalah tidak kurang dari 18 tahun semasa permohonan dan tidak melebihi 70 tahun pada tarikh tamat tempoh pembiayaan.

“Selain itu mereka yang mahu memohon tiada rekod muflis atau bankrap atau mempunyai rekod dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka perlu mempunyai rekod baik dengan bank atau mana-mana institusi kewangan,” kata CBP.

Kata CBP lagi, permohonan secara bersama adalah dibenarkan dengan bilangan pemohon tidak melebihi dua orang.

“Dengan syarat pemohon juga mestilah mempunyai hubungan kekeluargaan yang terdekat,” kata CBP.

CBP turut memberi pengecualian secara tangguhan menerusi tempoh diperuntukkan bagi pembelian rumah dalam pembinaan yang syarat pengeluaran adalah secara berperingkat-peringkat.

“Justeru, pelanggan dikehendaki membayar keuntungan bulanan sebenar sahaja semasa dalam tempoh tangguhan mulai bulan pertama pengeluaran dibuat sehingga ke bulan pengeluaran terakhir atau tamat tempoh tangguhan yang mana terdahulu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan produk perbankan yang ditawarkan boleh berkunjung ke 29 buah cawangan CBP di seluruh negara atau layari www.cbp.com.my atau hubungi CBP di talian 1-300-88-7650.

Tekan pautan https://youtu.be/GZn54AfeSRU untuk lebih lanjut.