Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai majlis resepsi perkahwinan Illi Najwa Anuar Hussin Saddique dengan dengan kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar. Susulan itu, status agama Illi menjadi persoalan netizen sehingga ada yang mendakwa dia murtad.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Illi tampil membuat permohonan maaf serta mengakui apa yang berlaku adalah salah dan kejahilan dia dan suaminya. Malah, Illi turut menzahirkan permohonan maaf kepada keluarganya yang telah diheret sama dalam isu tersebut.
Dalam pada itu, gadis berasal dari Johor itu mengesahkan suaminya telah memeluk Islam sejak akhir tahun 2019 dan mereka melangsungkan pernikahan pada 16 Disember lalu dalam acara tertutup.
Kata Illi lagi, sijil nikahnya akan diperoleh pada Rabu depan. Tegasnya lagi, dia menafikan dakwaan netizen kononnya dia menukar nama atau agama.
“Nama saya masih kekal Illi Najwa Anuar Hussin Saddique. Keluarga suami memanggil saya Navpreet sejak tahun 2012 kerana sukar bagi mereka menyebut nama saya,” ujarnya.
Terdahulu, rakaman video resepsi perkahwinan mereka tersebar dengan memaparkan Manpreet, mengenakan sut perkahwinan Punjabi yang lengkap dengan serban.
Manakala Illi memakai pakaian pengantin Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan. Di resepsi tersebut, Illi dan suaminya dilihat melakukan perbuatan yang mencetuskan pelbagai persoalan termasuk status agamanya.