Ribuan Pekerja Bangladesh Tunjuk Perasaan Mahu Pulang Ke Malaysia

0
23604

Ribuan pekerja warga Bangladesh yang terkandas di negara mereka akibat COVID-19 bertindak mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Luar di Dhaka bagi menuntut pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun visa sebahagian besar pekerja sudah tamat tempoh, menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk kembali ke Malaysia.

Difahamkan, tujuan tunjuk perasaan itu untuk menggesa kerajaan campur tangan dan membantu mereka menyelesaikan isu dokumen perjalanan bagi membolehkan mereka kembali bekerja di Malaysia.

Setiausaha Luar, Masud Momen, yang bertemu dengan penunjuk perasaan memberi jaminan kerajaan Bangladesh akan membincangkan masalah tersebut dengan kerajaan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian.

Salah seorang pekerja warga asing, Md Mohiuddin, memberitahu dia pulang ke Bangladesh pada 28 Januari dan sepatutnya kembali ke Malaysia pada 6 Mei tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat wabak COVID-19.

Ujarnya, visanya telah tamat pada 6 Mei lalu dan kini tidak pasti sama ada dapat kembali ke Malaysia serta 20 lagi pekerja di perkampungannya di Taltali, Barguna.

Katanya, tanpa campur tangan kerajaan, usaha mereka untuk kembali ke Malaysia tidak mungkin berjaya. Malah, mereka turut menuntut kerajaan menyediakan dana bantuan kewangan kerana tiada pekerjaan selama lebih tujuh bulan.

SUMBER: BH Online