Saintis Dakwa Lelaki Dijangkiti Covid-19 Risiko Mandul

Jika sebelum ini ada pihak mendakwa vaksin Covid-19 boleh menyebabkan lelaki suka pada kaum sejenis, terbaru kajian mendapati virus Covid-19 berisiko menyebabkan kemandulan kepada lelaki.

Dalam satu penyelidikan yang diterbitkan dalam Jurnal Open Biology baru-baru ini mendedahkan virus Covid-19 berupaya mengurangkan kuantiti dan kualiti sperma.

BACA: “Vaksin Covid-19 Boleh Ubah Lelaki Suka Kaum Sejenis”

Penemuan tersebut sekaligus menggariskan kesan membimbangkan kepada pasangan yang pernah dijangkiti Covid-19 untuk mendapatkan anak.

“Sistem pembiakan lelaki disimpulkan sebagai sasaran utama paling berpotensi mendapat jangkitan Covid-19 yang disokong oleh beberapa bukti awal dan mengurangkan tahap kesuburan seseorang itu.

“Ini boleh menimbulkan ancaman global terhadap potensi kesuburan lelaki kerana golongan ini lebih mudah mendapat jangkitan Covid-19 berbanding wanita terutama pada usia yang sesuai untuk mendapatkan cahaya mata,” lapor kajian itu.

Laporan awal itu turut menunjukkan kemungkinan penularan Covid-19 secara seksual boleh menyebabkan komplikasi teruk pada pasangan yang dijangkiti.

Susulan kajian tersebut, menerusi satu laporan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM perlu menjalankan lebih banyak kajian lagi berhubung perkara itu.

“Kita perlukan banyak lagi kajian untuk mengesahkan perkara terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, penyelidik berkenaan juga telah mengenal pasti empat cara utama di mana virus korona dapat mempengaruhi kesuburan lelaki.

  • Kaedah pertama adalah dengan pencerobohan yang disasarkan, pasukan penyelidik percaya kehadiran reseptor ACE2 (lokasi paling senang dijangkiti koronavirus) di testis menjadikan sel genital atau alat sulit lelaki sebagai sasaran jangkitan yang berpotensi.
  • Cara kedua adalah menerusi keradangan yang disebabkan oleh virus Covid-19 yang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada tisu pembiakan lelaki. Keradangan di sekitar jantung juga dapat menyekat atau menurunkan bekalan darah ke zakar yang akan mengakibatkan kegagalan ereksi.
  • Cara ketiga kesan virus korona terhadap kesuburan lelaki adalah menyebabkan keradangan di seluruh sistem badan yang menjadikan tahap hormon kesuburan mereka tidak stabil.
  • Faktor keempat adalah tekanan perasaan yang diketahui mempengaruhi kesihatan seksual dan telah menjadi isu bagi ramai orang sepanjang penularan wabak ini.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.

SUMBER: Harian Metro