Sanggup Solat Dalam Gelap, Jemaah Surau Di Kelantan Ini Punca Kluster Baru?

Melihatkan kes Covid-19 berada dalam keadaan membimbangkan, kerajaan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga 7 Jun depan.

Malah, sejak beberapa hari lalu kes harian Covid-19 agak tinggi dan kerajaan menjangkakan kes wabak tersebut akan mencecah 5 angka dalam masa terdekat.

Terbaru, muncul kluster di Kelantan yang dikatakan berpunca daripada jemaah surau di Kampung Pauh Lima yang sanggup solat dalam gelap demi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Malah, jemaah yang hadir juga dikatakan sanggup menyorok selipar supaya kehadiran mereka secara beramai-ramai tidak dapat dikesan.

Meskipun arahan dikeluarkan hanya membenarkan empat jemaah saja namun penduduk tidak mengendahkan arahan berkenaan. Difahamkan, 78 orang disahkan positif COVID-19 akibat daripada tindakan tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali memaklumkan aktiviti di surau tetap diteruskan seperti biasa termasuk sepanjang bulan Ramadan.

“Mereka tetap mengerjakan solat lima waktu seperti biasa. Cuma untuk waktu siang, kehadiran tidak seramai sebagaimana di sebelah malam.

“Ketika solat sunat tarawih, kehadiran memang ramai sehingga mereka sanggup solat dalam keadaan bergelap dan menyembunyikan selipar.

“Memang rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan penduduk berkenaan kerana kesannya habis satu kampung yang terjejas disebabkan kedegilan mereka,” katanya.

Malah, seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Yah berkata tindakan jemaah terlibat menimbulkan kemarahan kepada penduduk yang lain yang mematuhi SOP.

Katanya lagi, ada jemaah yang batuk serta demam, namun masih degil pergi ke surau berkenaan untuk melaksanakan solat tarawih.

“Saya pun tidak faham kenapa penduduk terlalu degil untuk mengikut arahan yang dikeluarkan. Inilah dikatakan mengejar pahala di tempat yang salah.

“Bila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua penduduk yang terjejas, bukannya hanya golongan yang melanggar SOP,” katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, Kelantan mulai esok sehingga 1 Jun.

SUMBER: Harian Metro