Sudah hampir sebulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh dikatakan ramai yang terjejas dari segi ekonomi. Malah, antara yang paling terjejas sumber pendapatan adalah mereka yang bekerja sendiri atau bergantung pada gaji hari.
Baru-baru ini tular di Facebook perkongsian seorang isteri yang meluahkan rasa bimbang apabila suaminya nekad pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan dengan hanya berjalan kaki.
Menurut wanita berkenaan, Sara Anisa, suaminya sudah sebulan tiada kerja dan terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tiada wang untuk meneruskan kehidupaan di Kuala Lumpur. Susulan itu, suaminya membuat keputusan untuk pulang ke Gerik.
Menerusi perkongsian di Facebook suaminya yang menggunakan nama Matnoe Poksu Din, dia memaklumkan kini sudah berjalan hingga ke Perak. Malah, turut berkongsikan kasutnya yang dipakai sudah mula rosak dan koyak.
Menurutnya, dia turut berhenti beberapa hentian untuk berehat dan mengecas telefon. Lebih pilu, menerusi satu perkongsian lelaki itu berkata dia hampir pitam kerana dua hari tidak makan nasi dan hanya bergantung dengan minuman isotonik.
Dalam satu perkongsian, Poksu turut berkongsikan gambar Google Map dimana ia mengambil masa hampir empat hari untuk sampai ke Tanah Merah, Kelantan dengan berjalan kaki.
Dalam pada itu, seorang kenalan meminta jika ada orang yang terserempak dengan lelaki ini atau melalui jalan yang sama diharap dapat menghulurkan bantuan. Turut disertakan nombor telefon Poksu jika ada yang sudi membantu.