Semua Premis Perniagaan Diarah Tutup Kecuali Pasaraya, Pasar Awam, Kedai Runcit & Kedai Serbaneka

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu ini, 18 sehingga 31 Mac di seluruh negara. Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui perutusan khas sebentar tadi.

Perintah Kawalan Pergerakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Pertama, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang pada 15 Mac (semalam),” katanya.

Kedua, beliau berkata, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela atau self quarantine selama 14 hari.

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra universiti.

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” katanya.

Leave a Reply