Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai seorang bekas pramugari Malaysia yang ditangkap kerana menyeludup dadah jenis heroin bernilai jutaan dolar dalam pakaian dalamnya tahun lalu telah dipenjara di Australia.
Bekas pramugari yang dikenali sebagai Zailee Zainal, 40 dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Daerah Australia.
Bagaimanapun, ibu kepada tiga orang anak itu berpeluang dibebaskan selepas menjalani hukuman selama tiga tahun apabila hakim membuat keputusan meringankan hukuman selepas mengambil kira alasan dia melakukan jenayah itu bagi membantu membiayai kos perubatan anaknya.
Zailee dijatuhkan hukuman pada tahun 2019, selepas heroin bernilai jutaan dolar ditemui tersembunyi dalam pakaian dalamnya.
Keterangan kepada mahkamah mendapati Zailee ditawarkan A$6,500 (RM19,359) untuk menyeludup heroin dengan nilai kira-kira A$3 juta (RM8.9 juta) ke Australia.
“Ada masa kita perlu belas kasihan dalam menjatuhkan hukuman. Anda merasa seolah-olah tidak punya pilihan lain selain melakukan jenayah,” kata hakim itu.
Laporan juga memberitahu Zailee ang bekerja dengan syarikat penerbangan Malindo Air, menjadi mangsa sindiket dadah kerana mereka mengetahui bahawa dia sangat memerlukan wang.
Mahkamah diberitahu bahawa Zailee terpaksa menjual brownies dan Tupperware untuk mencari wang tambahan sebelum ini bagi membiayaai kos pembedahan anaknya.
Zailee dan suaminya pernah meminta bantuan daripada rakan-rakan dengan menghantar e-mel sebelum didekati sindiket berkenaan pada 2018 yang mengambil kesempatan di atas kesusahan dialami mereka berdua.
“Saya lemah dan sanggup melakukan apa saja,” kata Zailee dalam pembelaannya.
Apa yang perlu dilakukannya, Zailee perlu mengambil heroin di Malaysia untuk membawa masuk ke Australian menggunakan penerbangan dan kembali ke Malaysia untuk mengambil upah seperti yang telah dijanjikan.
Antara Oktober 2018 dan Januari 2019, Zailee telah melakukan lapan perjalanan ke Australia, dan menyeludup lebih dari 4 kilogram heroin.
SUMBER: Astro Awani & The Sun