Tauke Nasi Kandar Salleh Bakal Disaman RM1 Juta Oleh Penduduk Napoh

Susulan tercetuskan kluster PUI Sivagangga, penduduk dan pemilik kedai di Napoh, Kedah menfailkan saman berjumlah RM1 juta terhadap pemilik Nasi Kandar Salleh, Nezar Mohamed.

Memetik BH Online, saman itu akan kemukakan minggu hadapan bagi menuntut kerugian yang dialami selepas kedai makan tersebut mencetuskan kluster PUI Sivagangga.

Difahamkan, kluster Sivagangga itu berpunca daripada pemilik restoran tersebut yang mengingkari arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata tuntutan saman itu dibuat berdasarkan nasihat peguam bagi memberi pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar arahan kuarantin sehingga menyebabkan virus COVID-19 merebak.

“Sehingga semalam, kami berjaya mengumpul 100 penduduk dan peniaga termasuk enam badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memfailkan saman kepada pemilik restoran Nasi Kandar Salleh.

“Dijangka hari ini 50 lagi penduduk akan berbuat demikian menerusi nasihat guaman Zunun & Co yang menawarkan perkhidmatan secara percuma,” katanya.

Penularan kluster Sivagangga menyebabkan penduduk dan peniaga yang terjejas mengalami kerugian RM14,000 seorang, malah mereka turut berdepan tekanan apabila tidak boleh keluar bekerja.

“Tindakan ini perlu diambil kerana penduduk mengalami tekanan bukan saja kerugian tetapi ada yang terasa dipulaukan malah orang luar tidak berani nak berkawan malah tidak boleh keluar bekerja.

“Ramai yang sudah kehabisan wang simpanan, baru saja hendak mula bekerja susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang pendapatan terjejas lagi,” katanya.

Semalam, Nezar Mohamed dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan selepas mengaku bersalah kerana mengingkari perintah kuarantin di rumah sebelum ini.