Warga Myanmar Cuba Lolos Kawat Duri PKPD Bagi Alasan Rumah Panas

Hanya kerana bosan terkurung di rumah, dua lelaki Myanmar cuba meloloskan diri melalui kawat duri untuk keluar dari kawasan rumah mereka di Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kedua mereka yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bukan sahaja ditahan, malah seorang daripada lelaki itu turut cedera apabila terjatuh dan tersangkut di kawat duri itu.

Akibat cubaan lolos gagal, lelaki yang terjatuh itu cedera di tangan, kaki serta belakang badan dan kini dirawat di Hospital Selayang sebagai pesakit luar sebelum ditahan.

Hasil siasatan mendapati mereka memberi alasan bosan serta panas kerana berasa terkurung di rumah sewa mereka berikutan PKPD dikenakan di kawasan itu.

Difahamkan kawasan Selayang Baru dikenakan PKPD sejak 25 April sehingga 3 Mei dan setakat ini kira-kira 60 peratus daripada lebih 3,000 penduduk yang berada dalam kawasan PKPD itu telah menjalani ujian saringan Covid-19.

SUMBER: Bernama

Leave a Reply