Susulan penularan wabak COVID-19 melanda hampir seluruh dunia, kerajaan Arab Saudi meminta umat Islam untuk menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga keadaan kembali stabil.
Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten dalam satu kenyataan berkata pihak Arab Saudi meminta umat Islam di seluruh dunia agar bersabar dan menunggu sehingga keadaan kembali reda.
“Arab Saudi bersedia sepenuhnya untuk menerima jemaah haji dan umrah. Tetapi keadaan semasa ketika kita bercakap mengenai pandemik global, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat.
“Oleh itu, kita meminta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas,” katanya.
Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Mekah dan Madinah.
Untuk pengetahuan anda, pembatalan musim haji tidak pernah berlaku, namun langkah mengehadkan kehadiran dari kawasan berisiko tinggi pernah dilaksanakan ketika wabak Ebola menyerang wilayah itu.
Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia akan berkumpul di Mekah dan Madinah untuk ibadah Haji yang dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai.