Seorang pemberita televisyen Indonesia terpaksa menemubual kerusi kosong selepas Menteri Kesihatan negara tidak mahu hadir ke program bagi membincangkan isu pandemik Covid-19.
Pengacara Najwa Shihab yang mengendalikan program Mata Najwa di siaran Trans7 sepatutnya menembual beberapa sumber termasuk Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto tentang cara Indonesia menangani isu Covid-19.
Bagaimanapun, Terawan enggan hadir sebagai panel utama sehingga membuatkan pengacara berkenaan tetap meneruskan program itu dengan membayangkan seolah-olah Terawan duduk berbicara di kerusi sebelahnya dan mengemukakan beberapa soalan.
Tetap tenang meneruskan program, Najwa melontarkan beberapa persoalan berkaitan dengan cara Indonesia menangani wabak pandemik COVID-19.
“Kenapa menghilang pak? Anda jarang muncul di khalayak ramai memberi penjelasan selama pandemik.
“Rasanya anda menteri kesihatan paling merendah diri di seluruh dunia selama wabak ini, atau kehadiran menteri kesihatan di depan awam tidak terlalu penting,” soalnya.
Sempat menyindir Terawan, pengacara itu terus mengasak kerusi kosong tersebut dengan soalan-soalan panas seolah-olah Menteri Kesihatan Indonesia ada di hadapannya.
“Menteri kesihatan yang letak jawatan kerana penangan Covid-19 seperti New Zealand, Republik Chech, Poland, Brazil, Chile, Pakistan, Israel, Canada. Pertanyaan saya apakah langkah menangani kita lebih baik dari negara-negara yang menteri kesihatannya letak jawatan itu?
“Yang jelas bukan hanya desakan presiden tetapi orang awam, di antaranya mengemukakan petisyen meminta kebesaran hati anda untuk berundur sahaja. Sila berundur pak,” katanya.
Sehingga kini, video temuramahnya tular dan sekitar lebih 200,000 orang telah menonton siaran Najwa Shihab setelah beberapa jam dimuat naik di laman YouTube.