Baru sahaja mendirikan rumah tangga awal November, ada sahaja kisah mengenai penyanyi rap, Caprice dan isterinya, Farra Inalis. Malah, di Instagram juga Caprice tidak lokek berkongsikan momen bersama isteri dan anak tirinya Alesya Sofea.
Umum mengetahui, penyanyi rap itu antara artis yang memperjuangkan Palestin malah beberapa bulan lalu menjalankan misi di Mesir meskipun tidak berpeluang untuk memasuki Gaza.
Bagaimanapun, ramai meluahkan rasa kurang senang apabila Caprice memuat naik video menerima pertanyaan mengenai soal anak.
Ada netizen mengkritik penyanyi rap itu yang sebelum ini sibuk memperjuangkan Islam namun isterinya tidak bertudung. Malah, ada yang mengatakan sebelum ini hormat pada penyanyi itu kerana sering memperjuangkan Palestin namun mengakui kecewa dengan video berkenaan.
Tidak kurang juga ada yang menitipkan nasihat kepada Caprice supaya tidak memuat naik gambar atau video yang mempertontonkan aurat isteri kepada umum.
Malah, ada yang memberi komen sindiran menyangkakan balik sahaja dari Mesir penyanyi itu akan berkahwin dengan wanita bertudung litup tetapi memilih wanita free hair.
Terdahulu, Caprice mengejutkan ramai apabila selamat bernikah dengan wanita pilihan hati Farra Inalis, yang juga merupakan ibu tunggal anak satu berasal dari Kelantan.