Aduan Suami Tak Bayar Nafkah Naik Mendadak Ketika PKP

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu, ramai yang terjejas kerana tidak boleh keluar bekerja seperti biasa untuk mencari pendapatan bagi menampung pendapatan harian.

Ia pasti memberi kesan terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga. Perkara itu sekaligus turut memberi kesan dalam pemberian nafkah apabila aduan berhubung suami atau bekas suami tidak memberi nafkah kepada isteri atau bekas isteri ketika PKP meningkat dari sebelumnya.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sebelum ini hanya lima aduan sebulan diterima Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

Bagaimanapun, ketika tempoh PKP ini pihaknya menerima lima aduan dalam masa lima hari. Menurutnya, aduan meningkat selepas jabatan itu membuat iklan mengenai aduan boleh dibuat di Facebook rasmi BSK.

Mohd Na’im berkata, setiap aduan yang dibuat seharusnya lengkap dengan nombor telefon atau e-mel yang dapat dihubungi, bagi tindakan lanjut pihak BSK. Ujarnya, pihak mereka akan menyemak dan memproses setiap aduan yang diterima.

“Suatu notis peringatan akan dikeluarkan kepada suami atau bekas suami, sebelum tindakan selanjutnya seperti runding cara, pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah diambil oleh BSK, yang akan dilaksanakan selepas tempoh PKP tamat,” katanya.

Leave a Reply