Artis Berani Keluar Statement Panas Berkaitan Tudung & Umrah, Ini Nasihat Ustazah Asma’

Baru-baru ini tular video di media sosial mengenai seorang selebriti Malaysia yang mengulas mengenai isu menutup aurat sehingga kenyataannya itu dikecam oleh netizen.

Menerusi video dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok itu, artis tersebut meluahkan rasa syukur apabila dijemput sebagai tetamu Allah sebanyak 3 kali ke Tanah Suci meskipun belum bertudung.

Kenyataannya itu menimbulkan rasa kurang senang netizen yang terkejut dengan kenyataan artis itu serta mendoakan agar diberikan hidayah.

Kenyataan berani artis itu turut mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun terpanggil untuk memberikan nasihat serta teguran.

Menurut Ustazah Asma hukum menunaikan umrah adalah sunat muakad manakala hukum menutup aurat adalah wajib.

Ustazah Asma turut menegur apabila ada yang berpendapat tidak mengapa jika tidak menutup aurat namun hati baik dengan satu situasi.

Dalam perkongsian di Facebook itu juga, Ustazah Asma turut mengingatkan semua pihak supaya berhari-hati dengan nikmat yang diberi kerana ia boleh menjadi istidraj.

“Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.

“Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya,” tulisnya.

Katanya lagi, peluang untuk menunaikan ibadah haji dan umrah direzekikan kepada mereka yang terpilih namun kayu ukur utama adalah perubahan yang dilakukan selepas pulang dari mengerjakan ibadah tersebut.

“Alhamdulillah, peluang untuk menunaikan haji atau umrah itu memang direzekikan kepada mereka yang terpilih, namun kayu ukur yang lebih penting ialah APA PERUBAHAN yang berlaku pada diri kita SELEPAS PULANG daripada haji atau umrah? Adakah akhlak dan ibadah kita lebih baik, sama sahaja atau semakin buruk? Allahu Akbar,” tulisnya.

Dalam pada itu, Ustazah Asma turut menjelaskan teguran yang diberikan bukan bermakna mengambil kerja Tuhan apatah lagi untuk menumpang populariti sebaliknya menjalankan amanah untuk mengajak kepada jalan kebaikan.

“Jangan salah faham, orang yang menegur bukan buat kerja Tuhan, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam.

“Saya percaya ramai yang bimbangkan keadaan masyarakat dan generasi anak-anak kita yang mudah sekali dirosakkan minda dan akhlak mereka oleh segelintir selebriti, influencer, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.

“Para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating. Popular dan pengaruh bukanlah satu kebanggaan atau anugerah, sebaliknya hanya alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemungkaran,” tulisya.

WALAU MATI, BIMBANG DOSA TIDAK BERHENTI

Diakhir perkongsian itu, pendakwah itu turut meminta kita semua berfikir tentang apa yang kita lakukan meskipun sudah meninggal dunia apatah lagi dosa akan terus mengalir kerana gambar atau video yang mendedahkan di media sosial.

“Pernahkah terfikir bagaimana jika suatu hari nanti dipanggil bertemuNya, saat jasad sudah masuk ke liang lahad, namun dosa masih berjalan kerana gambar atau video mendedahkan aurat masih kekal berada di media sosial?. Nauzubillahiminzalik. Moga sempat dipadam oleh diri sendiri, bukan waris, kerana itu adalah tanda sempat bertaubat sebelum mati.

“Kita tidak pernah tahu bilakah detik kematian akan kunjung tiba, namun yakinlah setiap hela nafas yang Allah masih pinjamkan buat kita saban hari, itulah peluang berharga untuk kembali kepadaNya. Balaslah kasih sayang Allah dengan mentaati setiap perintah dan meninggalkan laranganNya,” tulisnya.