Bangladesh Tubuh Madrasah Pertama Untuk Transgender Muslim

0
5738

Bangladesh merupakan negara pertama menubuhkan sekolah Islam pertama untuk komuniti transgender Muslim. Sekolah yang terletak di Dhaka itu dibuka secara rasmi pada 6 November lalu.

Ulama menyifatkannya permbukaan sekolah itu sebagai langkah pertama menyatukan golongan minoriti yang sering ditindas dalam masyarakat dan didiskriminasi.

Diberi nama Dawatul Islam Tritio Linger Madrasa atau Islamic Gender School, tempat itu akan mengajar kumpulan transgender mengenai pengetahuan Al-Quran, falsafah Islam, bahasa Bengali, Inggeris, matematik dan sains sosial.

Seorang pelajar berusia 33 tahun, Shakila Akhter, yang dilahirkan sebagai perempuan namun memilih untuk menjadi lelaki berkata dia gembira dan berterima kasih kepada ulama kerana melakukan perubahan itu.

“Kami beragama Islam, namun kami tidak boleh pergi ke masjid, bahkan kami tidak dapat bergaul dengan anggota masyarakat lain,” katanya.

Difahamkan, hampir 1.5 juta orang transgender di negara majoriti Islam itu dan madrasah berkenaan antara rangkaian gerakan terbaru untuk memudahkan kehidupan trangender di sana.

Madrasah ini akan dikendalikan oleh sekumpulan ulama yang diketuai oleh Abdur Rahman Azad. Mereka mengubah suai tingkat atas sebuah bangunan 3 tingkat menjadi sekolah dengan dana daripada badan kebajikan tempatan.

Buat masa ini seramai 150 pelajar sudah berdaftar dengan sekolah berkenaan. Azad berkata golongan transgender, yang dikenali sebagai Hijra (penghijrah) di Bangladesh, terlalu banyak berdepan penderitaan.

“Sudah terlalu lama mereka menjalani kehidupan yang menyedihkan. Mereka tidak boleh pergi ke sekolah, madrasah atau masjid. Mereka menjadi mangsa diskriminasi. Kita, masyarakat dan negara perlu dipersalahkan untuk ini.

“Kita mahu menamatkan diskriminasi ini. Allah tidak membeza-bezakan antara manusia. Islam melayan setiap orang sebagai manusia. Hijra perlu menikmati semua hak yang sama seperti manusia lain,” katanya.

Pada tahun 2015, pelampau Islam membunuh aktivis gay dan editor sebuah majalah LGBT sehinggakan ramai golongan LGBT telah melarikan diri dari Bangladesh.

SUMBER: BH Online