Semalam, genap hari kelapan rejim Zionis menceroboh dan menyerang bumi Palestin ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut kemeriahan Aidilfitri.
Dianggarkan, 212 penduduk Palestin di Gaza terkorban termasuk 61 kanak-kanak, 36 wanita dan lebih 1,500 cedera sejak lebih seminggu lalu.
Disebalik situasi genting berlaku di sana, tular video dikongsikan netizen di Facebook, memaparkan seorang bapa yang sempat merakam detik akhir bersama anak sebelum terbunuh.
Lebih sebak, hebatnya insan bergelar bapa itu yang menenangkan dan mengalihkan perhatian anak-anaknya yang berada dalam ketakutan ketika negara mereka diserang bertubi-tubi oleh tentera Israel.
Dapat dilihat kanak-kanak yang sedang seronok bermain itu ketakutan apabila mendengar bunyi pesawat tempur Israel berada di ruang udara, namun ditenangkan oleh bapanya.
Bagaimanapun, si bapa mati syahid apabila terbunuh bersama abangnya dalam serangan udara oleh tentera rejim Israel.
Meskipun, negara berada dalam kekalutan namun si bapa tetap memanfaat kesempatan yang ada sebaik mungkin dengan anak-anak dan ahli keluarga.
Perkongsian video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut sebak dan tidak dapat membayangkan bagaimana jika anak-anak mereka berada di dalam situasi tersebut.