Beri Rakan Lelaki Kek Batik, Pelajar Dipenjara 7 Hari & Denda RM800

Meskipun sudah sebulan lebih perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagaimanapun ramai yang masih mengambil remeh tentang arahan kerajaan itu apabila didapati ramai yang keluar sesuka hati.

Baru-baru ini, tindakan seorang penuntut wanita universiti swasta yang keluar rumah untuk memberi rakan lelakinya makan kek batik membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.

Mahkamah memerintahkan wanita berumur 22 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 April lepas, selain memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Rakan lelakinya yang juga berumur 22 tahun yang merupakan penuntut sebuah universiti awam, dikenakan denda RM1,000 atau penjara dua bulan.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah bergerak dari satu tempat ke suatu tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan, di Jalan SP1/8, Subang Perdana di sini, pada 9 malam 18 April lepas.

Difahamkan, pihak polis menemui kedua-dua tertuduh di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

Alasan diberikan wanita itu ialah dia ingin memberi rakan lelakinya makan kek batik yang dibuatnya serta ketika tangkapan dibuat, lelaki itu sedang makan kek berkenaan.

Wanita itu telah dijemput oleh rakannya itu sebelum bergerak ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 800 meter dari rumah wanita itu, dan lelaki berkenaan sebelum itu pula telah bergerak dari rumahnya yang terletak empat kilometer dari tempat kejadian.

SUMBER: Malaysia Gazette

Leave a Reply