China Diserang Wabak Norovirus, Lebih 50 Kanak-Kanak Dijangkiti

Pandemik COVID-19 masih lagi belum reda, China diserang wabak norovirus pula. Menurut laporan, lebih daripada 50 kanak-kanak di sebuah tadika di Kota Zigong, Provinsi Sichaun dijangkiti wabak tersebut.

Ia sekaligus menambah bilangan kes wabak norovirus di China. Sebelum ini, Pejabat Kesihatan Daerah Zigong City Yantan menerima laporan mengenai seorang pelajar tadika yang muntah pada Rabu lalu.

Keesokan harinya, kanak-kanak tersebut disahkan dijangkiti wabak tersebut. Kes muntah paling awal dilaporkan pada pagi Rabu, diikuti oleh beberapa pelajar lain pada sebelah petang.

Selepas habis waktu persekolahan, guru-guru menerima beberapa laporan daripada ibu mengatakan anak mereka mengalami cirit-birit dan muntah.

Pada keesokkan harinya, kanak-kanak yang dijangkiti norovirus dihantar terus ke hospital. Bagaimanapun, kesemua kanak-kanak berada dalam keadaan stabil menjalani rawatan di hospital dengan gejala ringan.

“Setelah penyelidikan epidemiologi dan ujian asid nukleik, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) mengesahkan bahawa muntah itu disebabkan oleh jangkitan norovirus,” kata Perkhidmatan Kesihatan Yantan seperti dikutip oleh Global Times.

Kes muntah dan cirit birit atau lebih dikenali sebagai norovirus telah menjangkiti lebih 685 juta orang seluruh dunia setiap tahun. Namun sejak kebelakangan ini, ia terus muncul di China dan menjadi antara masalah kesihatan awam di tengah-tengah wabak COVID-19.

SUMBER: GlobalTimes