Dari Kampung Nelayan Kelantan, ‘Bos Besar’ Shell Pernah Buka 30 Stesen Shell Di India

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai ‘bos besar’ Shell Malaysia yang turun padang bertemu dengan pelajar yang tular memakai baju Shell ketika mengambil keputusan SPM baru-baru ini.

Lebih dikenali dengan gelaran ‘PakcikShell’, ramai yang tidak tahu figura bernama Shairan Huzani Husain ini merupakan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd sejak 2016.

Menerusi perkongsian Cereta, siapa sangka beliau sudah pun bekerja bersama Shell sejak tahun 1993 lagi.

Anak sulung dari empat adik beradik ini membesar di perkampungan nelayan sehingga enam tahun bersama datuk seorang nelayan dan neneknya menjual bunga sanggul.

Kemudian, Shairan pindah untuk tinggal bersama ibu bapanya yang keduanya merupakan guru dan memulakan persekolahan beliau di SK Tengku Indera Petra di Kota Bahru.

Diterima masuk ke MRSM Pengkalan Chepa di peringkat sekolah menengah, disitu Shairan bertemu dengan seorang yang istimewa yang akhirnya bergelar isterinya. Beliau kemudian ditawarkan untuk menyambungkan pendidikan di Grantham College di UK untuk peringkat A-Level.

Selepas itu, beliau ke Leeds University, United Kingdom untuk menyambung pendidikan di dalam jurusan Ekonomi. Ketika menyambung pengajian di sana, beliau melakukan kerja sambilan untuk mencari dengan mencuci pinggan di sebuah restoran duit poket.

Tamat pengajian, beliau tidak terus pulang ke Malaysia sebaliknya bekerja di firma antarabangsa KPMG di Leeds. Namun pada tahun 1993, beliau terlalu rindukan kampung halaman dan tekad untuk berhenti kerja dan pulang ke Malaysia.

Yakin dengan rezeki Allah, Shairan memohon sebarang jawatan di Shell Malaysia dan diberikan satu jawatan di Shell Chemical, yang menghasilkan produk ubat nyamuk Shelltox zaman dahulu.

Beliau berkata, dia pernah bekerja di beberapa bahagian seperti Corporate Finance, Forex Trading, bahagian upstream di Miri namun bidang bahagian retail atau runcit berjaya menarik minatnya.

Beliau pernah ditugaskan untuk menjaga stesen-stesen minyak Shell di dalam negara dan antara yang pertama ialah stesen minyak Shell di Glenmarie.

“Saya pernah mencuci tandas di stesen tersebut pun,” kongsinya.

Suatu hari, Royal Dutch Shell, syarikat induk untuk Shell memberikannya satu tugasan untuk memulakan perniagaan Shell di negara India. Sepanjang empat tahun, beliau berjaya membuat sebanyak 30 stesen minyak Shell di negara itu sebelum memutuskan untuk pulang ke tanah air.

“Pejabat pertama Royal Dutch Shell di India ialah sebuah bilik kecil di hotel Taj West End. Saya membeli empat kerusi, satu mesin faks dan meja yang saya pinjam dari hotel.”

“Dan itulah permulaan Shell di India. Sehingga kini, nama di dalam lesen perniagaan Shell di India masih mempunyai nama saya!” sambung beliau.

Di atas kejayaan luar biasanya itu, Shairan terus diminta untuk menjaga rangkaian stesen Shell global. Meskipun kini ditempatkan di Malaysia, beliau perlu terbang ke serata dunia untuk tugasnya itu.

Melihatkan kejayaan anak Melayu ini, pasti ia dapat dijadikan pemangkin semangat buat anak muda diluar sana untuk mengecapi kejayaan seperti beliau.

Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂

Leave a Reply