Donald Trump Keluar Perintah Eksekutif Haramkan TikTok & WeChat

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu menyekat aplikasi TikTok berikutan kebimbangan terhadap perkhidmatan media sosial itu yang dikatakan boleh menjadi alat untuk perisikan China.

Terbaru, Trump dilaporkan menandatangani perintah eksekutif mengharamkan dua aplikasi dari China iaitu TikTok dan WeChat di Amerika Syarikat (AS) mulai 15 September ini.

Langkah pengharaman itu akan dikuatkuasakan dalam tempoh 45 hari bermula semalam. Trump berkata AS perlu mengambil langkah agresif bagi melindungi keselamatan negara.

Menyifatkan aplikasi tersebut sebagai ancaman kepada AS, Trump mendakwa TikTok berkemungkinan digunakan untuk kempen yang menguntungkan Parti Komunis China.

Dalam perintah yang sama, Trump memaklumkan bahawa WeChat juga mempunyai ancaman keselamatan yang besar kerana mampu mengakses maklumat peribadi dan sensitif rakyat AS.

Tindakan itu sekali gus dilihat memberi tekanan kepada pemilik aplikasi ByteDance yang berpangkalan di Beijing, China untuk menjualnya kepada AS.

Bagaimanapun,  Trump memaklumkan beliau menyokong penjualan TikTok di AS kepada  Microsoft Corp sekiranya kerajaan mendapat sebahagian besar daripada harga jualan aplikasi berkenaan