Impak PKP, Malaysia Diramal Alami Fenomena ‘Baby Boom’ Awal 2021

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan dilanjutkan sehingga 14 April ini, Malaysia diramal akan mengalami situasi pertambahan jumlah kelahiran bayi yang luar biasa pada Januari tahun depan.

Ramalan itu dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berdasarkan kajian kes sama yang pernah berlaku di luar negara pada masa lalu.

Ketua Unit Kesihatan Reproduktif, Dr Hamizah Mohd Hassan berkata perlaksanaan PKP mampu mempengaruhi kadar kelahiran bayi tahun menjelang awal tahun hadapan kerana majoriti pasangan berkahwin kini terpaksa berkurung sepanjang tempoh itu.

Menurutnya lagi, ramalan berkenaan adalah berdasarkan kes-kes kelahiran baru luar biasa yang pernah berlaku di luar negara apabila penduduk terperangkap di dlama rumah dalam tempoh yang panjang.

“Pada tahun 1998 terdapat ribut salji yang buruk di Maine dan New Hampshire. Bandar itu terpaksa ditutup dan penduduk terperangkap di rumah dalam jangka lama.

“Sembilan bulan kemudian terjadi ‘baby boom’ (kelahiran bayi luar biasa) di sana. Perkara yang sama juga dijangka boleh berlaku di Malaysia kerana rakyat terpaksa duduk di rumah melalui tempoh PKP ketika ini,” katanya seperti dipetik BH Online.

Dr Hamizah berkata, beliau menasihatkan pasangan suami isteri supaya bijak merancang kehamilan sepanjang tempoh PKP dan perlu bersedia untuk menerima kelahiran baharu seandainya terjadi kehamilan luar jangka.

Leave a Reply