Kumpulan hip hop popular tempatan, K-Clique melakar sejarah tersendiri apabila dicalonkan dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020) yang akan berlangsung pada 8 November ini.
Menurut salah seorang anggotanya, Somean, pengiktirafan tersebut sangat besar memandangkan mereka adalah pendatang baharu dalam industri muzik tempatan dan tidak menyangka akan berada di pentas antarabangsa pula.
“Semestinya sangat bersyukur memandangkan kami bukan siapa-siapa. Kini kami sudah ke pentas antarabangsa pula. Tidak terjangkau akal bahawa suatu hari nanti kami akan dicalonkan untuk MTV EMA.
Katanya lagi, fokus mereka hanya mahu menghasilkan muzik terbaik dan berkualiti. Ujarnya, mereka melakukannya dengan seikhlas hati dan menyerahkan kepada pendengar sama ada mahu menyukainya atau tidak
Selain K-Clique, antara selebriti Asia Tenggara yang turut sama berentap adalah Agnez Mo dari Indonesia, Ben & Ben (Filipina), Benjamin Kheng (Singapura), Violette Wautier (Thailand) dan Jack (Vietnam).
Tidak dinafikan mereka ada menaruh harapan untuk menang memandangkan ianya adalah anugerah berprestij bagaimanapun nama mereka tercalon dalam anugerah besar itu sudah memadai.
“Sudah dapat dicalonkan pun sangat membanggakan buat kami dan ia terlalu besar. Semoga peminat akan menyokong serta mengundi kami dalam misi menggenggam trofi berprestij itu,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini penyanyi rap Joe Flizzow mencipta sejarah memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 yang berlangsung Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol.
SUMBER: Harian Metro