Kalut Pasal Filem BABI Sampai Buat Laporan Polis, Akhirnya Namewee Buat Pendedahan

Nama Namewee tidak dapat dipisahkan lagi dengan kisah kontroversi bermula dari lahirnya lagu Negarakuku dan beberapa lagi video yang mencetuskan perdebatan dan pertikaian terutamanya masyarakat Melayu.

BACA: Filem BABI Tercalon Dalam 4 Anugerah Antarabangsa, Laporan Polis Dibuat Terhadap Namewee

Malah baru-baru ini, filemnya yang berjudul BABI telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Untuk pengetahuan, filem berkenaan tidak akan ditayangkan di sini (Malaysia). Namun api kemarahan terhadap filem berkenaan bagaikan tidak tertahan-tahan.

Puncanya apabila poster filem berkenaan yang tidak dinafikan agak kontroversi dengan ada tulisan Melayu Babi. Namun, dalam pendedahan terbaru oleh Namewee sendiri melalui Facebook, bangsa Cina dan India turut sama dilibatkan dalam poster tersebut.

Tindakan beberapa pihak membuat laporan polis tanpa menonton atau meneliti dahulu isi filem berkenaan bagaikan tidak berasas.

Selain itu, Namewee turut melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap Malaysia di dalam kebebasan berkarya di atas dasar demokrasi.

Menafikan dakwaan dirinya bersikap perkauman, Namewee menyatakan jika benar dia sedemikian, sudah tentu dia tidak akan mengambil pelakon Melayu dan lain-lain kaum serta tidak akan meletakkan sari kata bahasa Melayu dalam filemnya.

Menurut pengarah ini lagi, filem berkenaan tidak akan ditayangkan di Malaysia namun akan menjengah di beberapa festival filem. Malah tambahnya, dia tidak akan memohon kepada mana-mana pertubuhan bertanggungjawab di Malaysia untuk menayangkan filem berkenaan.

Filem BABI yang mendapat kecaman teruk ini walaupun ditolak keras oleh negara sendiri kini telah tercalon dalam empat festival filem antarabangsa, iaitu Open World Toronto Film Festival (kategori pengarah terbaik dan pelakon terbaik), Around International Film Festival Berlin (Best Feature Film), International Thai Film Festival 2020 dan Taipei Golden Horse Film Festival (Best Original Film Song).

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.