Kerana Jalan Buruk & Berlubang, Pesakit Jantung Ini Pulih

Masalah jalan berlubang sememangnya membuatkan ramai berang, mana tidaknya ia boleh membahayakan pengguna jalan raya sendiri. Namun, siapa sangka jalan berlubang boleh jadi ‘penyelamat’.

Seperti yang berlaku di Nebraska, Amerika Syarikat ini, seorang lelaki berusia 59 tahun yang dikejarkan ke hospital menaiki ambulans akibat serangan jantung kembali berdegup normal selepas ambulans yang dinaikinya terlanggar lubang besar.

Difahamkan, kadar jantung lelaki itu berdegup luar biasa mencapai 200 kali seminit ketika dikejarkan ke hospital. Ambulans yang membawa mangsa perlu melalui jalan sejauh 11 kilometer yang dipenuhi lubang.

Setiap kali berlakunya kes kecemasan, sudah pasti ambulans akan membawa laju untuk tiba ke hospital dengan kadar segera.

Menurut seorang pegawai perubatan Nebraska, Dr Andrew Goldsweig, insiden itu jarang-jarang berlaku. Katanya lagi, salah satu cara merawat serangan jantung perlu menggunakan alatan khas untuk mengenakan kejutan elektrik pada dada pesakit.

“Salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan kejutan elektrik. Secara klasik, anda akan melihatnya di televisyen. Ternyata, anda boleh melakukannya dengan jalan berlubang,” katanya.

SUMBER: Foxnews