Kisah Budak Perempuan Ajak Pekerja Asing Main ‘Board Game’ Buat Ramai Tersentuh

Kanak-kanak umpama kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan anak mereka sejak dari kecil lagi. Ibu bapa jugalah yang bertanggungjawab untuk mengajar anak-anak tentang adab sejak dari kecil lagi serta menunjukkan contoh yang baik.

Apa sahaja yang ibu bapa lakukan pasti akan menjadi ikutan anak-anak. Jika sering berbuat baik, maka anak-anak pun akan turut melakukan kebaikan termasuklah kepada orang lain.

Seperti yang tular baru-baru ini, seorang pengguna Facebook Yang Kaiheng berkongsikan layanan sepupunya terhadap beberapa orang asing yang membuatkan dirinya dan juga netizen tersentuh.

Menerusi perkongsian tersebut, dia turut berkongsikan gambar sepupu perempuannya duduk bersama tiga pekerja asing sambil bermain permainan papan sementara menunggu hujan reda.

Menurut wanita dari Singapura itu, ini bukan kali pertama sepupunya itu berinteraksi bersama pekerja-pekerja tersebut. Malahan sebelum ini sepupu kecilnya selalu memberi mereka air di samping mengajak mereka bermain-main bersamanya.

Kata Kaiheng lagi, salah seorang daripada pekerja asing itu mengatakan bahawa rindu kepada anaknya di kampung halaman terubat apabila dapat bergaul dengan sepupu Kaiheng.

Seperti diketahui, di Singapura kebanyakan kes positif COVID-19 adalah daripada kalangan pekerja asing dan ini membuatkan segelintir takut untuk berdepan dengan mereka.

Namun tidak bagi kanak-kanak perempuan itu kerana dalam fikirannya pekerja-pekerja itu semua kawannya dan dia hanya ingin menggembirakan mereka.

Dalam pada itu, Kaiheng berharap agar anaknya sendiri akan membesar dengan nilai-nilai yang diterapkan dalam sepupunya itu. Katanya lagi, adab yang baik harus diajar kepada kanak-kanak pada usia muda agar mereka mempunyai sifat perikemanusiaan apabila dewasa kelak.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang memuji dengan cara didikan ibu bapa kanak-kanak berkenaan. Malah, tindakan kanak-kanak boleh dijadikan contoh untuk semua peringkat usia.

SUMBER: Yang Kaiheng