Liat Nak Bayar Hutang, Wanita Hantar Buku Yasin Dengan Gambar Penghutang

Memang tidak dapat dinafikan, kadangkala ada dikalangan mereka yang liat nak bayar hutang. Jalan melancong sana sini, makan sedap-sedap, beli barang mewah-mewah tapi semua guna duit pinjam.

Tapi, akhirnya si pemiutang yang terpaksa tebal muka untuk meminta wang dan yang berhutang pula tak rasa bersalah langsung.

Namun, cara digunakan oleh seorang wanita ini meminta hutang daripada seorang wanita sememangnya cukup ekstrem.

Mana tidaknya, dia telah bertindak menghantar buku Yasin dan Tahlil kepada keluarga penghutang bersama-sama dengan gambar si penghutang sekali.

Memetik laporan Detik, perkongsian itu tular di Facebook ‘Pencarian Orang Lupa Bayar Hutang’.

Menerusi entri dikongsikan, wanita bernama Jeanis Dealova memberitahu dalam Facebook berkenaan bahawa ada seorang penghutang telah melarikan diri dan tidak membayar hutangnya.

Malah, si penghutang bernama Nuril Lailatul bertindak menyekatnya di semua media sosial. Jeanis turut berkongsikan gambar Nurul di muka depan buku Yasin berwarna hijau serta meminta wang sebanyak Rp.100 juta (RM28,000) yang telah dipinjam.

Di bahagian hadapan Yasin tersebut, turut ditulis, “Mengingati kematian Allahyarham Nuril Lailatul Zuhro”.

Kata Jeanis, dia terima jika wanita itu ingin membayar secara ansuran, tetapi dia bertindak menyekat nombor telefon serta akaun media sosialnya seolah mahu lari.

Kesal kerana tidak berjaya mendapat wangnya semula, Jeanis bertindak memesan buku Yasin dan menghantarnya ke keluarga Nuril. Dia menganggap bahawa Nuril telah meninggal.

“Ya, itu gambar Nuril yang berhutang dengan saya dan rakan-rakan yang lain. Saya memesan buku Yasin. Kemudian saya kirimkan kepada keluarganya,” katanya.

Perkongsian wanita itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang terhibur serta menyokong tindakannya itu.

SUMBER: Wolipop.detik