Malaysia Belum Sedia Tarik Balik PKP – Pakar

Hampir sebulan lebih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, bagaimanapun pakar mendedahkan Malaysia sebenarnya belum bersedia untuk menarik balik PKP dalam masa terdekat ini.

Menurut Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Datuk Dr Amar Singh HSS ia berikutan ada beberapa faktor yang masih kurang memuaskan dan perlu ditangani.

Ujarnya, daripada enam kriteria untuk keluar PKP seperti yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara masih mempunyai beberapa kekurangan iaitu dari segi ujian saringan, kapasiti pegawai kesihatan, pengesanan kontak dan paling ketara pemikiran masyarakat.

“Untuk mencegah penularan wabak ini, dalam prinsip WHO, hampir semua masyarakat perlu ikut dan bertanggungjawab. Saya berpendapat bahawa ini masih belum masuk ke dalam fikiran masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata 33 kes positif jangkitan COVID-19 dalam kalangan pesakit Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dalam tempoh dua minggu lepas menunjukkan jangkitan virus masih berlaku dalam komuniti.

“Apa yang kita tidak faham sampai sekarang walaupun dikawal, masih ada jangkitan dalam komuniti bermaksud virus itu masih merebak dari satu orang kepada individu lain dalam komuniti.

“Sekiranya kita tidak berhati-hati wabak ini akan kembali dan mungkin gelombang kedua dan ketiga akan lebih besar,” katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia telah melaksanakan PKP selama 8 minggu bermula 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

SUMBER: BH Online

Leave a Reply