Malaysia Dipilih WHO Untuk Uji Ubat COVID-19

Malaysia telah dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan kajian bagi menguji keberkesanan ubat Remdesivir yang merawat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara kriteria Malaysia dipilih untuk melaksanakan penyelidikan itu adalah kerana keupayaan dan kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melakukan kajian klinikal.

“Penyelidikan ini akan tertumpu di Hospital Sungai Buloh dan hospital-hospital yang mengendalikan pesakit COVID-19, yang KKM akan memberi rawatan kepada pesakit menggunakan ubat yang terbaru (Remdesivir).

“KKM juga akan turut memantau kesan sampingan, kemujaraban ubat ini dan sebagainya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata butiran lanjut seperti tempoh kajian dan sebagainya mengenai penyelidikan keberkesanan ubat Remdesivir akan dibincangkan dengan pihak WHO malam ini.

“Malam ini kami akan buat perbincangan secepat mungkin dan kalau dapat ubat itu, kita akan terus laksanakan penyelidikan,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, The Washington Post melaporkan, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengesahkan doktor di Wuhan, China sudah mula menguji ubat yang masih di peringkat percubaan, Remdesivir, terhadap pesakit Covid-19.

Ubat itu yang dihasilkan Gilead Sciences dikatakan berjaya merawat pesakit pertama di AS yang dijangkiti Covid-19.

SUMBER: Harian Metro

Leave a Reply