Seorang lelaki positif COVID-19 bakal berdepan hukuman pancung susulan tindakannya meludah di troli dan pintu di sebuah pusat beli belah di Arab Saudi.
Lelaki tersebut yang merupakan warga asing ditahan selepas tingkah lakunya itu dilihat oleh pekerja pusat beli belah berkenaan.
Memetik laporan The Sun, ketika didalam tahanan lelaki yang dirahsiakan identitinya itu telah diperiksa dan didapati positif COVID-19.
Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan sedar atau tidak sama ada dia dijangkiti wabak tersebut tetapi ada sumber rasmi memberitahu portal tempatan di Arab Saudi bahawa tindakannya itu adalah satu kesalahan besar.
Laporan media disana memberitahu jika polis Arab Saudi mendakwa lelaki itu dengan sengaja meludah di tempat awam dan menyedari bahawa dia memiliki wabak berkenaan, lelaki itu akan didakwa dengan cubaan membunuh.
Di Arab Saudi, dia akan berdepan dengan hukuman pancung. Sumber rasmi itu turut memberitahu tindakannya dikutuk oleh agama dan hukum.
Kata sumber itu lagi, tindakannya itu dilihat secara sengaja untuk menyebarkan wabak coronavirus di antara ahli masyarakat serta mahu menimbulkan panik.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Arab Saudi turut meminta orang ramai yang mengunjungi pusat beli belah berkenaan agar segera menjalani ujian di hospital.
Sehingga kini, Arab Saudi mencatatkan 1,012 kes positif COVID-19 dan 3 kematian.