Menteri Jelaskan Ini Sebab Balik Kampung & Ziarah Tidak Dibenarkan

Tahun ini pasti sangat berbeza kerana ada kemungkian kita tidak boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti kebiasaannya dan tidak boleh kunjung mengunjung ke rumah saudara mara.

Perkara itu sekaligus membuatkan ramai rakyat tertanya-tanya mengapa pulang ke kampung tidak dibenarkan sedangkan premis perniagaan dan sektor ekonomi pula dibenarkan beroperasi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan larangan itu dibuat kerana sukar untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan COVID-19,

Ismail Sabri mengakui ia satu perkara sukar untuk semua rakyat. Namun ia berbeza dengan pasar raya yang lebih mudah untuk memantau pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Ujarnya lagi, jika balik kampung dibenarkan, siapa yang akan memantau tetamu yang hadir dan bagaimana untuk memastikan setiap tetamu yang hadir akan diperiksa suhu mereka.

“Sebagai contoh siapa yang nak masuk mesti beratur, jarak satu meter.. jarakan sosial mesti dijaga, sebelum masuk juga kena saring dan untuk masuk juga kena ada jumlah tertentu yang kita perlu tetapkan, jadi semua SOP itu kita jelas.

“Tetapi balik kampung siapa yang nak pantau, dalam satu rumah tiba-tiba berpeluk-peluk dengan saudara-mara, macam mana kita nak pastikan jarakan sosial berlaku, bagaimana nak pastikan ada yang periksa suhu setiap orang yang masuk ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ia tertakluk kepada Menteri Kesihatan yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang arahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan ini, termasuk kebenaran pulang ke kampung.

“Seperti saya katakan, kita akan rujuk kepada Kementerian Kesihatan, kerana Akta 342 ini adalah akta di bawah kementerian ini, dan di dalam akta ini Menteri Kesihatan boleh keluarkan arahan, jadi arahan menteri pada ketika ini, tidak boleh,” katanya.

Semalam, kerajaan memaklumkan bahawa aktiviti menziarah tidal dibenarkan untuk tahun ini termasuk buat mereka yang berada dalam negeri yang sama.

SUMBER: Awani

Leave a Reply