Nenek Sanggup Berpanas Jadi ‘Patung Silver’ Cari Rezeki Buat Cucu

Ditinggalkan oleh ibu bapa yang sudah bercerai, namun kanak-kanak berusia dua tahun ini bertuah kerana mempunyai nenek yang sudi menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Namun, dengan usia yang sudah lanjut, pasti sukar untuk warga emas ini mencari rezeki. Namun, warga emas ini tetap sanggup menjadi ‘patung silver’ di tengah bandar Tangerang, Indonesia untuk mencari sesuap nasi.

Memetik laporan Merdeka.com, warga emas berusia sekitar 60 tahun itu mengecat hampir seluruh tubuh sebelum berdiri di tengah panas sambil mendukung cucunya Reihan berusia dua tahun.

Menurutnya, satu tin cat silver itu berharga Rp35,000 (RM9.90) dan cat itu hanya boleh dihilangkan dengan cecair pencuci pinggan.

Sebelum ini warga emas berkenaan bekerja sebagai pembantu rumah, namun sejak empat bulan lalu dia mencari rezeki dengan menjadi ‘patung silver’.

Katanya, jika dia berdiri dari pagi sehingga petang, dia akan memperoleh sebanyak RM14 hingga RM28 sehari. Ujarnya, wang tersebut digunakan untuk membeli susu cucunya dan makanan setiap hari.