Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan hanya petugas perubatan dan mereka yang sakit sahaja perlu memakai topeng muka.
Malah, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom memberitahu mereka yang sihat tidak perlu memakai topeng muka.
Kenyataan tersebut membuatkan ramai orang bimbang tentang keselamatan diri masing-masing. Bagaimanapun, dalam satu kenyataan terkini, WHO kini memberi galakan kepada orang ramai untuk memakai topeng muka ketika berada di tempat awam.
Namun, WHO berkata topeng muka khas masih lagi menjadi keutamaan buat petugas kesihatan dan mereka yang sakit, sementara orang awam disarankan untuk menggunakan topeng yang dibuat sendiri menggunakan kain.
Kenyataan baru itu dikeluarkan selepas kajian terbaharu menunjukkan bahawa keberkesanan penggunaan topeng muka di tempat awam mampu menghalang penularan COVID-19.
Malah, kajian terbaru oleh pakar di Amerika Syarikat berkata virus COVID-19 mampu merebak melalui udara dengan pernafasan atau bercakap.
Memetik laporan Asia One, Anthony Fauci, ketua penyakit berjangkit di National Institutes of Health berkata orang ramai diperlukan memakai topeng muka berikutan kajian terbaru itu mendapati virus boleh tersebar walaupun ketika bercakap.
Susulan kajian itu, beberapa negara juga telah mengeluarkan arahan agar rakyat mereka mengenakan topeng muka jika berada di luar.
Pengarah eksekutif program kecemasan kesihatan WHO, Dr Michael Ryan berkata pihaknya melihat situasi dimana penggunaan topeng muka sama ada topeng buatan sendiri dan topeng muka jenis kain dapat membantu mengekang penularan wabak COVID-19.
“Terdapat situasi di mana memakai topeng muka mampu mengurangkan kadar seseorang itu dijangkiti dengan orang lain,” tambahnya kepada Asia One.
Dalam pada itu, WHO turut menyarankan orang ramai agar kerap membasuh tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan melakukan ujian COVID-19 dengan lebih banyak bagi mengenal pasti dan mengkuarantin mereka yang dijangkiti.
Sebelum ini, WHO bimbang untuk menggalakkan penggunaan topeng muka kerana kekurangan bekalan akan berlaku kepada pegawai perubatan.
SUMBER FOTO: Malay Mail