Pasangan Pengantin Pertama Di Malaysia Akad Nikah Secara Online

Pasangan pengantin dari Kuala Lumpur ini, Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif mencipta sejarah menjadi pasangan pertama di Malaysia melangsungkan perkahwinan secara online susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis diadakan di dua lokasi dimana pengantin perempuan bersiaran langsung di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada jam 10.10 pagi tadi.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi. Majlis bersejarah itu turut disaksikan seluruh negara menerusi Facebook Live Berita AlHijrah.

Menariknya, majlis itu turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail yang dilihat turut berada di lokasi majlis.

Memetik laporan portal ALHIJRAH News, majlis nikah atas talian itu dilakukan selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebelum ini yang membolehkan pasangan melaksanakan akad secara sidang video.

Pada 17 April lalu, JAWI memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi Kebenaran Berkahwin untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Leave a Reply