Pati Kiub Pork Jenama Knorr Berada Di Pasaran Malaysia? Ini Penjelasan JAKIM

0
26083

Baru-baru ini, tular beberapa gambar pati kiub babi jenama Knorr yang dikatakan dijual di sebuah pasar raya di Malaysia. Perkara itu sekaligus menimbulkan rasa kurang senang pengguna kerana ia turut dijual bersama produk halal yang lain.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kesahihahn di sebalik gambar tersebut memandangkan tiada maklumat tentang pasar raya yang menjual produk tersebut.

Perkara itu mendapat perhatian JAKIM yang tampil memberikan penjelasan berhubung isu tular itu. JAKIM memaklumkan, isu itu sudah dikongsikan oleh pihak mereka pada tahun 2016.

Menjawab persoalan orang ramai, produk pati kiub babi itu bukan dikilangkan di Malaysia dan tidak layak untuk memiliki pengesahan yang halal serta tiada sebarang penandaan logo halal yang tertera pada label bungkusan produk berkenaan.

Selain itu, berdasarkan maklum balas daripada syarikat Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd pada Disember 2018 lalu bahawa pihak syarikat tidak mengimport atau mengedar sebarang produk pati kiub pork tersebut di pasaran Malaysia.

Dalam pada itu, JAKIM turut meminta pengguna agar mengutamakan produk yang telah dipersijilkan halal oleh JAKIM serta menyemak terlebih dahulu dengan pihak yang berautoriti tentang sesuatu produk sebelum menyebarkan di media sosial.

Untuk mengetahui premis dan produk makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia boleh layari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar Verify Halal.

Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂