Pengantin Perempuan Batalkan Perkahwinan Gara-Gara Bakal Suami Tak Hafal Sifir Dua

Siapa yang akan terfikir pada hari perkahwinan dan hari bahagia, pengantin perlu mengambil ujian matematik. Namun, itu seorang bakal pengantin lelaki ini dipaksa melakukan ujian berkenaan apabila tiba di rumah pengantin perempuan.

Tetapi apa yang lebih mengejutkan, pengantin perempuan bertindak membatalkan majlis perkahwinannya itu selepas pengantin lelaki gagal menghafal sifir dua.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Mahoba, India. Difahamkan, pengantin lelaki berkenaan telah tiba di dewan perkahwinan bersama ‘baraat’ atau rombongan pihak lelaki.

Bagaimanapun, pengantin perempuan ragu-ragu dengan kelayakan akademik bakal suaminya dan meminta pengantin lelaki menyebut sifir dua sebelum kalungan bunga dapat ditukarkan.

Pengantin perempuan bertindak sedemikian selepas mengesyaki keluarga pihak lelaki telah menipu mengenai tahap pendidikan pengantin lelaki.

Selepas pengantin lelaki gagal dalam ujiannya, pengantin perempuan terus bangun dan meninggalkan dewan perkahwinan tersebut.

Ahli keluarga pengantin perempuan cuba memujuknya untuk meneruskan perkahwinan namun dia bertegas tidak akan berkahwin dengan lelaki yang tidak tahu asas matematik.

“Keluarga pengantin lelaki tidak memberitahu kami dengan tepat tentang tahap pendidikannya. Mungkin juga dia tidak pernah ke sekolah,” kata sepupu pengantin perempuan.

Difahamkan, perkahwinan tersebut telah diatur oleh kedua-dua keluarga dan akhirnya mereka mencapai kata sepakat untuk membatalkan perkahwinan.

SUMBER: Astro Awani