Pernah Viral Mirip Shuk Sahar, Pengasas Produk Cik Non Meninggal Dunia

Pengasas produk kecantikan, Nor Shahada Aisyah atau lebih dikenali sebagai Cik Non telah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi tadi.

Berita duka itu dimaklumkan oleh suaminya dengan tenang menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok.

“Assalamualaikum kepada semua yang mengenali saya dan isteri saya Nor Shahada Aisyah yang selalu menjadi watak Cik Non telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 3:45 pagi tadi,” katanya.

Menerusi video itu, suami arwah memberitahu dia tidak akan membuat siaran langsung pengebumian isteri serta memohon maaf bagi pihak isterinya jika ada melakukan kesalahan.

“Saya dari pihak dia ingin memohon maaf jika dia ada terkasar bahasa kepada you all dan jika ada apa-apa yang Cik Non dengan you all, maafkanlah ya. Mungkin saya tak akan buat live kebumi dia, mungkin saya tak tunjuk jenazah dia,” katanya.

Tidak menjelaskan lanjut mengenai punca pemergian arwah, namun di ruangan komen ada netizen mendakwa berpunca daripada jangkitan kuman pada otak selepas mengalami cirit-birit selama beberapa hari.

Tidak kurang juga, ada yang meminta suaminya itu memadam gambar atau video arwah yang pernah tular sebelum ini.

Dalam pada itu, ada segelintir netizen memohon maaf kerana pernah mengutuk arwah sebelum ini serta mendoakan arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Terdahulu, nama Cik Non pernah tular sekitar tahun 2020 kerana masuk ke pusat beli-belah tanpa memakai pelitup muka.

SUMBER: mStar Online