Rakyat Amerika Puji Cara Malaysia Tangani COVID-19 Berbanding Negaranya

Dalam usaha membendung wabak COVID-19 di Malaysia, bukan sahaja pasukan perubatan kita sahaja diberi pujian malah usaha pihak kerajaan yang cuba sedaya upaya menangani wabak tersebut perlu diberi perhatian.

Ramai yang menyangkakan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat akan lebih ‘handal’ menangani masalah wabak tersebut berbanding negara kita. Namun perkongsian lelaki ini ternyata membuka mata tentang bagusnya Malaysia menangani isu wabak COVID-19.

Lelaki tersebut yang merupakan seorang pensyarah dari Amerika Syarikat (AS) memuji tindak balas pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan pandemik COVID-19.

Berada di Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Profesor Madya Sains Kajian Otak, Neurologi dan Psikologi di Washington University, Missouri, Dr Jason Hassenstab berkata Malaysia boleh dijadikan teladan oleh negara lain dalam menangani pandemik COVID-19.

Hassenstab berkata dia dan keluarganya, sempat berkunjung ke empat bandar iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu.

“Saya tidak menganggap Malaysia sebagai negara dunia pertama dan memandangkan tahap kemiskinan yang kami lihat.

“Namun begitu, penguatkuasaan peraturan membendung COVID-19 di Malaysia dilaksanakan di mana-mana, walaupun di kawasan hutan hujan terpencil tempat kami menginap.

“Pengguna telefon mudah alih sentiasa diingatkan tentang langkah penjarakan sosial setiap hari. Malah ruang bahagian atas telefon saya yang biasanya bertulis ‘Sprint’ sebaliknya ditulis ‘Stay Home’,” katanya.

Hassenstab turut berkongsikan berkongsi pengalamannya ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di mana beliau melihat pengawal keselamatan menguatkuasakan langkah penjarakan sosial.

Malah, semua pekerja lapangan terbang memakai penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman disediakan hampir di setiap kaunter, mesin daftar tunai, dan di mana-mana stesen.

“Sepanduk informasi dengan panduan bertulis dan bergambar berada di mana-mana disediakan oleh kementerian kesihatan mereka.

“Bangku-bangku di lapangan terbang telah ditandakan (dengan pita) supaya ada ruang kerusi kosong di antara setiap kerusi.

Dakwanya, situasi itu sedikit berbeza jika dibandingkan dengan Lapangan Terbang Atlanta di Amerika Syarikat kerana hanya kira-kira lima peratus kakitangan kastam dan kawalan sempadan memakai topeng dan sarung tangan.

Ujarnya lagi, tiada cecair pembasmi kuman selain di beberapa tandas, manakala kedai dan perniagaan beroperasi seperti biasa. Lebih mendukacitakan, orang ramai bersesak-sesak bersama, tanpa langkah penguatkuasaan menjarakkan diri antara satu sama lain.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen terutama daripada rakyat Malaysia yang berbangga dengan pujian tersebut. Dalam pada itu, ada netizen berkata orang luar lebih menghargai kerajaan daripada rakyat Malaysia sendiri.

Leave a Reply