Rakyat Palestin Zahirkan Ucapan Hari Merdeka Guna Pasir Pantai

Sambutan hari kemerdekaan tahun ini cukup berbeza seperti kebiasaannya ditambah pula dengan norma baharu yang kita jalani ketika ini memandangkan kita masih lagi berjuang untuk menangani pandemik COVID-19.

Meskipun negara sendiri masih berjuang mendapatkan kemerdekaan, rakyat Palestin masih sempat meluahkan penghargaan atas persahabatan dan doa yang sering mengiringi mereka daripada Malaysia.

Lebih sebak, sekumpulan rakyat Palestin menghadiahkan ucapan hari kebangsaan buat rakyat Malaysia dengan cara unik dimana menghasilkan ucapan tersebut menggunakan pasit pantai dipercayai di pantai Gaza.

Apa yang menjadi perhatian adalah, ucapan tersebut turut diserikan dengan warna-warna yang sinonim dengan Malaysia, iaitu biru, merah dan kuning. Malah, bendera Malaysia dan Palestin yang disusun bersebelahan.

Ucapan itu sekaligus membuatkan rata-rata rakyat Malaysia sebak dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih serta mendoakan agar Palestin turut dapat mengecapi kemerdekaan yang diimpikan.

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara kita, mari sama-sama hulurkan secebis doa buat rakyat Palestin, yang pastinya mendambakan kebebasan dan keamanan seperti yang dinikmati kita hari ini.