Rakyat Singapura Panik, Serbu Kedai Bubble Tea Sebelum Ditutup Sementara

Nampaknya minuman bubble tea masih lagi menjadi fenomena apabila semalam kecoh di media sosial segelintir rakyat Singapura menyerbu kedai bubble tea dan sanggup beratur panjang demi mendapatkan bubble tea kegemaran mereka.

Difahamkan, arahan penutupan operasi itu mungkin akan dilakukan sehingga 1 Jun depan apabila kerajaan Singapura melanjutkan tempoh langkah pemutus rantaian (circuit breaker) selama empat minggu lagi.

Kedai-kedai tersebut dibenarkan beroperasi sehingga jam 11.59 malam semalam. Notis penutupan itu sekaligus menyebabkan rakyat Singapura berpusu-pusu beratur sehingga lewat malam.

Turut tular di laman Facebook foto rakyat Singapura beratur panjang demi mendapatkan bubble tea mereka.

Seorang penghantar makanan memberitahu dia  terpaksa menunggu sehinga 25 minit untuk pesanan minumannya siap sedangkan sebelum ini hanya mengambil masa 5 minit sahaja.

Kalau ikutkan ini bukanlah kali pertama rakyat Singapura menyerbu premis perniagaan yang diarahkan tutup kerana COVID-19. Awal April, orang ramai dilihat menyerbu gedung perabot IKEA selepas Singapura mengumumkan penutupan sekolah serta tempat kerja yang tidak penting (non-essential).

Leave a Reply