Selepas Diusir, Rayhan Kabir Mahu Belajar Undang-Undang Perjuang Hak Migran

Diusir dari Malaysia selepas muncul dalam dokumentari Al Jazeera mendakwa pihak berkuasa memberi layanan buruk kepada pekerja asing ketika PKP, warga Bangladesh Md Rayhan Kabir berkata kehidupannya berubah secara drastik sejak sebulan lalu.

Bercakap kepada laman berita Bangladesh, Dhaka Tribune, lelaki berusia 25 tahun itu berkata sebelum ini dia memiliki semuanya namun kini tiada lagi selepas muncul dalam dokumentari berkenaan.

“Saya memiliki semuanya…tempat tinggal yang baik, sebuah kereta, pekerjaan baik dan kestabilan kewangan. Tetapi, semuanya berakhir selepas saya muncul dalam dokumentari itu,” luahnya.

Berkongsikan kembali apa yang perlu dilaluinya sebelum ini, Rayhan berkata dia tidak dihubungi oleh sesiapa pun dari Al Jazeera selepas penahanannya.

Ujarnya lagi, Al Jazeera pernah bertanya jika dia tidak mahu mendedahkan namanya dan menutup mukanya dalam dokumentari itu, bagaimanapun dia tidak mahu berbuat demikian kerana tidak pernah terlintas tindakannya itu melanggar sebarang undang-undang.

“Bersuara untuk komuniti tidak asing bagi saya kerana saya sudah melakukannya berkali-kali sebelum muncul dalam dokumentari itu. Saya tidak pernah terfikir memberitahu kebenaran akan menyebabkan saya menghadapi banyak masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Rayhan berkata dia tidak mahu hidup di masa lalu dan memutuskan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang penghijrahan dan memperjuangkan hak pekerja migran.

SUMBER: Dhaka Tribute