Suami Isteri Penagih, Ambil Syabu Lepas Seminggu Bersalin, 5 Anak Tinggal Dalam Sampah Sarap

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak pihak prihatin termasuklah NGO datang untuk memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga yang berdepan kesusahan.

Baru-baru ini, satu perkongsian yang dimuat naik oleh Dr Zaki Zamani yang menyertai satu lawatan bersama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di dua buah rumah di kawasan Padang Hang, Alor Setar, ternyata mengejutkan ramai pihak.

Menerusi perkongsian itu, Dr Zaki berkata dalam lawatan ke sebuah rumah mendapati sepasang suami isteri didapati positif syabu. Apa yang mengejutkan, si isteri yang baru seminggua berpantang mengakui kali terakhir mengambil syabu dua hari yang lalu.

Lebih menyedihkan, lima anak mereka hidup dalam rumah yang penuh dengan sampah sarap dan terabai.

Pada 29 April 2020 bersamaan 6 Ramadan 1441H, iaitu hari ke-43 PKP, dengan kebenaran pergerakan daripada pihak PDRM, satu lawatan telah diadakan ke dua buah rumah di kawasan Padang Hang.

Lawatan bersepadu ini disertai oleh Pegawai-pegawai AADK Daerah Kota Setar, Ketua-ketua Balai Polis Anak Bukit dan Alor Janggus, Pelindung Kanak-kanak dan Kaunselor JKM Daerah Kota Setar dan saya sendiri mewakili Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar.

Dalam lawatan ini didapati satu pasangan suami isteri terlibat dengan dadah. Anak mereka 5 orang, dua orang tiada surat beranak, anak kedua berumur 7 tahun tidak pernah bersekolah. Anak bongsu berumur baru seminggu.

Bapa mereka dan adiknya didapati positif methamphetamine dan kedua-duanya telah dibawa ke pejabat AADK. Isterinya berpantang di rumah keluarganya yang berdekatan bersama 4 anak yang lain.

Hanya seorang anak tinggal bersama bapanya ketika ini. Si isteri mengaku mengambil syabu kali terakhir kelmarin, tetapi disebabkan masih berpantang dan menyusu, AADK akan memantaunya sehingga habis tempoh berpantang.

Semua anak mereka diletakkan di bawah jagaan datuk mereka terlebih dahulu kerana keadaan rumah di situ lebih selamat. Pihak Pelindung kanak-kanak JKM akan terus memantau kanak-kanak ini, dan perkara-perkara berkaitan pendaftaran dan persekolahan akan diselesaikan selepas tamat tempoh PKP.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sebuah keluarga bersama 5 orang anak kecil boleh hidup dalam rumah sebegitu rupa.

Ini bukan masalah kemiskinan semata-semata tetapi disebabkan kegagalan ibu bapa berfungsi akibat pengaruh dadah. Dadah akan melenyapkan fungsi sosial seseorang manusia yang waras.

Masyarakat perlu peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada kes sebegini demi menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa pengabaian.

SUMBER: Dr Zaki Zamani

Leave a Reply