Tarikh Tengok Anak Bulan Ramadan Pada 23 April

Kurang seminggu sahaja lagi umat Islam bakal menyambut bulan puasa, tarikh melihat anak bulan Ramadan adalah pada Khamis depan iaitu 23 April bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini berkata, tempat melihat anak bulan Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan di 15 kawasan terpilih.

Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong (Perak).

Selain itu, Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Menara Alor Setar (Kedah); Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu (Terengganu); Menara Bangunan SEDC di Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu (Kelantan).

Teluk Bandung, Kuching (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang); Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu tarikh permulaan puasa yang ditetapkan menerusi radio dan televisyen,” menurut kenyataan itu.

SUMBER: Awani

Leave a Reply