Tentera Akan Dikerah Jika Rakyat Terus Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Kerajaan kemungkinan besar terpaksa menggunakan khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya orang ramai masih ingkar mematuhinya.

Memetik laporan BH Online, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya kira-kira 60% rakyat Malaysia mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan semalam.

Menurutnya lagi, kementerian bersedia berbuat demikian bagi mengurangkan pergerakan orang ramai. Katanya lagi, bermula hari ini, pihak polis akan meningkatkan sekatan jalan raya untuk membendung pergerakan orang ramai bagi mengatasi penularan COVID-19.

“Saya harap semua rakyat mematuhi arahan kerajaan, tujuannya bukan nak menyusahkan rakyat, tetapi menjaga kesihatan dan nyawa rakyat.

“Kementerian Kesihatan menjangkakan kes akan terus meningkat, sebab itu kerajaan melaksanakan larangan ini,” katanya.

Beliau berkata lagi, rakyat dibenarkan keluar membeli barang keperluan asas, tetapi mereka perlu menjarakkan diri ketika berada di tempat awam serta kurangkan bawa keluarga dan jangan membawa anak kecil.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini, hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi. Kedai makan dibenarkan beroperasi tetapi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang saja.

Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂

Leave a Reply