Tipu Majikan Tapi Pergi Tengok Final Euro, Sekali Muka Masuk TV Terus Kena Pecat

Beberapa hari lalu berlangsungnya perlawanan separuh akhir menyaksikan England bertemu dengan Denmark bagi menentukan pasukan mana yang akan ke perlawanan akhir Euro 2020.

Namun, ada cerita di sebalik berlaku pada perlawanan separuh akhir itu apabila seorang pekerja dipecat ketika meraikan gol pasukan England.

Rupanya, wanita bernama Nina Farooqi yang bekerja sebagai pencipta kandungan itu menipu majikannya untuk ke Stadium Wembley bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir berkenaan.

Difahamkan, wanita itu memberi alasan sakit untuk mengelakkan diri hadir ke tempat kerja selepas rakannya menawarkan tiket untuk menyaksikan perlawanan besar itu.

Wanita itu kantoi apabila wajahnya terpapar di kaca televisyen bersama rakannya ketika meraikan jaringan penyamaan England dimana perlawanan itu turut ditonton oleh majikannya.

Pada keesokan harinya, Nina meneruskan kehidupannya seperti biasa pergi ke tempat kerja. Namun, dalam perjalanan Nina menerima panggilan daripada majikannya bahawa dia tidak perlu hadir hari ini kerana dipecat.

“Mereka lihat saya dalam perlawanan itu dan saya jujur dengan apa yang saya lakukan. Namun saya tidak mendapat simpati dan mereka kata itu kata muktamadnya.

“Ada sedikit rasa menyesal, tidak ada sesiapa yang ingin dipecat, tetapi saya juga akan menyesal jika tidak ke perlawanan tersebut,” kata Nina.

Kata Nina lagi, dia tidak sangka dia akan dilihat di dalam stadium yang dipenuhi lebih 60,000 penonton itu.

“Emosi yang bercampur baur. Kami mara ke final, saya masih teruja tetapi saya juga kehilangan kerja,” katanya.

SUMBER: BH Online