Waseem Rizvi, seorang pemimpin Muslim yang juga mantan ketua Lembaga Wakaf Syiah Uttar Pradesh, India, mencetuskan kemarahan umat Islam di negara itu apabila mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung India untuk menghapuskan 26 ayat dari Al-Quran.
Rizvi berkata dia berbuat demikian mendakwa ayat-ayat itu mengajar keganasan. Katanya lagi, 26 ayat itu dimasukkan sendiri ke dalam Al-Quran oleh tiga tokoh khalifah Islam yang pertama.
“Ayat-ayat ini ditambahkan ke dalam Al-Quran, oleh tiga khalifah pertama, untuk membantu mengembangkan Islam melalui perang,” katanya.
Rizvi berkata lagi,” Selepas [Nabi] Muhammad, khalifah pertama Abu Bakar, khalifah kedua Umar dan yang ketiga, iaitu Usman, mengeluarkan Al-Quran sebagai sebuah buku,” katanya.
Seperti sudah dijangka kenyataan Rizvi itu mengundang kecaman. Bagaimanapun itu bukan pertama kali Rizvi mencetuskan kontroversi.
Terdahulu, namanya menjadi bualan ramai terpalit isu seperti perceraian talak tiga, pertikaian agama dan kes rasuah.
Meskipun sering mencetuskan kontroversi menerusi parti disertainya Parti Bharatiya Janata (BJP), namun beberapa pemimpin daripada parti itu termasuk Menteri Kesatuan Syed Shahnawaz Hussain mengecam petisyen yang diminta oleh Rizvi.
“Saya sangat membantah dan mengecam petisyen Waseem Rizvi yang meminta menghapuskan 26 ayat dari al-Quran. Saya berpendapat bahawa menyatakan perkara-perkara yang tidak masuk akal mengenai teks agama, termasuk al-Quran, adalah tindakan yang sangat serius. Terkutuk,” katanya.
Dalam pada itu, komuniti Syiah dan Sunni turut bersatu mengecam tindakan Rizvi, serta mendakwa petisyen tersebut hanyalah sekadar publisiti dan usaha untuk menambah sentimen agama.
Rizvi merupakan mantan ketua Lembaga Wakaf Syiah Uttar Pradesh dan memegang jawatan selama lebih dari satu dekad.
SUMBER: SabrangIndia India Express