Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai penyanyi Baby Shima yang dikecam apabila tular video memaparkan dia sakan bergelek menyanyikan lagu raya.
Difahamkan, Baby Shima membuat persembahan di sebuah majlis rumah terbuka hari raya menyanyikan lagu Sesuci Lebaran nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Lebih menambahkan kemarahan apabila penyanyi itu mengeluarkan kenyataan dia bergelek kerana tahan kentut.
Perkara itu turut mendapat perhatian golongan agamawan termasuk penceramah bebas, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar yang membuat surat terbuka terhadap Baby Shima.
Dalam surat tersebut, Ahmad Fuad mahu Baby Shima faham bahawa suasana atau hiburan di Malaysia dan Indonesia tidak sama.
“Saya selalu turun berdakwah di Indonesia dan saya tahu pasaran hiburan di sana berbeza. Di sana hiburan mereka lebih berani malah terkadang menyambut Israk Mikraj pun ada yang sanggup menari. Pernah di tempat saya berkuliah agama namun konsert dangdut berhampiran bersebelahan. Waktu kuliah boleh terdengar ayat ‘Ayuh Goyang Mas’ geleng kepala saya waktu kuliah.
“Buat Shima saya cuma minta Cik faham yang suasana Malaysia dan Indonesia tidak sama. Di sini agamanya dijaga oleh mufti dan ada perundangan yang memelihara. Adab dan suasananya masih cantik terpelihara.
“Hiburan juga masih lagi santun dan menjaga kemuliaan diri wanita. Namun semenjak dua menjak ini naik kembali di peranti telefon bimbit saya aduan dan nasihat orang ramai terhadap keberanian saudari dalam mengetengahkan hasil seni yang kurang cermat,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata tindakan Shima itu boleh membuatkan suami-suami di luar sana tertarik untuk meninggalkan komen di media sosial penyanyi itu tanpa sedar walaupun Shima berkata sebelum ini tidak pernah menggangu sesiapa.
“Shima pun pernah cakap, kenapa masyarakat tak boleh terima Shima walaupun Shima tak ganggu mereka. Memang betul Shima tak ganggu mereka secara fizikal tapi hati suami-suami orang yang tertarik dan memenuhi ruangan komen Shima tu menyebabkan banyak perempuan lain ‘insecure’. Pening kepala golongan isteri bila bergaduh mulalah muat naik di group Kisah Rumah Tangga.
“Sebenarnya sifat malu adalah perisai wanita daripada diambil kesempatan. Sifat Malu adalah sifat yang lahir daripada hati yang jernih kepada Allah. Kita tak nak suasana ini mendatangkan kemurkaan daripada Allah. Saya takut dan semua orang takut.
“Saya harap Shima dapat mengambil manfaat daripada segala teguran ini. Marilah membina masa depan hiburan tanah air yang lebih bersifat mendidik berbanding sekadar melalaikan. Saya tulis ni sebab Allah dan saya juga memohon agar Allah mengampunkan segala dosa kita,” Katanya.