Ustaz Dakwa Boleh ‘Tangkap & Kurung’ Covid-19 Dalam Botol

Hangat diperkatakan di laman Facebook semalam apabila seorang lelaki yang mendakwa pengamal perubatan Islam mengaku berjaya menangkap virus Covid-19 dan mengurung virus tersebut dalam botol.

Menerusi Facebook miliknya, individu ini turut memuat naik tiga rakaman video memaparkan sedang menjalankan rawatan terhadap seorang pesakit. Menurutnya, selepas virus berkenaan ditangkap dan dikurung di dalam botol, ianya akan disimpan di dalam peti sejuk.

“Saya telah menangkap dan mengurung (bukan selamanya) Convid-19 ke dalam botol. Botol ini saya isi air. Saya simpan dalam freezer (peti sejuk) bersama dengan botol air lain yang kosong dari Covid-19.

“Selama tempoh 5 hari botol berisi Covid-19 tidak membeku sedangkan botol air biasa beku dalam tempoh 6 jam,” katanya.

Di dalam video berkenaan lelaki bergelar ustaz itu turut dilihat membacakan ayat-ayat ruqyah terhadap seorang pesakit yang duduk di kerusi, sambil disaksikan beberapa individu lain.

Meskipun individu itu mendakwa berjaya menangkap virus berkenaan, namun seperti sudah dijangka perkongsiannya itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan tindakannya itu mencemarkan agama Islam.

Tidak kurang juga ada yang menggelarkannya menjual agama serta ada yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan. Bagaimanapun difahamkan, perkongsian itu sudah pun dipadamkan daripada laman Facebooknya.

SUMBER: Kini TV

Leave a Reply