5 Kebenaran Memeritkan Dalam Drama Korea The Penthouse

Bila sembang pasal drama Korea ini, ramai yang sangat mudah terjebak. Bak orang kata, jangan cuba-cuba nak tengok 1 episod, memang bersangkut sampai habis jawabnya.

BACA: Penonton Ditipu ‘Fruit Son’, Plot Twist Drama Takdir Yang Tertulis Dapat Pujian

Malah kehadiran drama terbaru The Penthouse baru-baru ini ternyata mengundang pelbagai reaksi berbaur. Ceritanya adalah pasal cinta – cinta dan sayang terhadap anak-anak, cinta dan sayang kerana harta dan cinta terhadap kemewahan.

Bagi siapa yang sudah mengikuti drama The Penthouse ini yang sudah memasuki musim kedua, pasti ramai yang termencarut dan juga bengang dengan apa yang berlaku.

Pada mulanya, kami rasakan drama ini terlalu ekstrem namun lama kelamaan ia bagaikan memberi cerminan hidup kita sendiri.

Mari baca 5 perkongsian yang sempat kami senaraikan dari banyak-banyak lagi perkara lain yang anda boleh nilai daripada drama tersebut.

Sayang Tanpa Sempadan, Apa Saja Demi Anak

Zuriat merupakan salah satu kurniaan dan anugerah Tuhan kepada manusia. Namun melahirkan dan mendidik manusia adalah satu tugas yang cukup sukar.

Dalam drama Penthouse ini, bermula dari episod 1 lagi kita sudah dilihatkan tentang betapa mewah dan senangnya kehidupan mereka.

Namun masuk saja musim kedua, kita mula melihat Cheon Seo Jin, watak seorang ibu yang terlalu inginkan kesempurnaan sehingga sanggup meluahkan perkara yang mampu menganggu mental anaknya. Malah lebih teruk lagi, sanggup melindungi anaknya yang didakwa membunuh Ro-Na.

Eun-byeol merupakan anak yang tertekan dek kehendak ibunya sehingga sanggup mengetepikan realiti dan akhirnya kembali membenci ibunya – sedangkan si ibu bermati-matian mempertahankan anak daripada ditangkap polis.

Boleh terima atau tidak, ini pengajaran penting dalam membesarkan anak-anak atau mungkin filem Anakku Sazali itu lebih dekat dengan kita.

Mahu Menjadi Tuhan Namun Bertopengkan Syaitan

Kehidupan di Hera Palace diibaratkan sungguh mewah dan cukup sempurna di mata rakyat biasa. Namun watak antagonis utama, Joo Dan-Tae seakan tidak pernah penat dengan rancangan jahat.

Malah lebih menyakitkan hati, semua yang dilakukannya adalah demi nafsu dan harta semata-mata.

Realitinya, di kehidupan sebenar, terlalu ramai yang begini. Walaupun mungkin tidaklah sekejam Joo Dan Tae namun kita mudah tertipu dengan perwatakan baik yang secara zahirnya adalah sekadar lapisan luar seseorang itu.

Duit & Pangkat Adalah Raja

The Penthouse sedikit sebanyak turut ada bancuhan politik dalam mewarnai drama tersebut. Ia ibarat satu kemestian dan keserasian apabila bercerita soal kerja kotor dan politik.

Apabila melibatkan poiltik, duit dan pangkat bagaikan satu ‘tongkat sakti’ yang mampu membuat siapa saja patuh kepada arahan tuannya.

Watak Lee Kyu Jin dilihat memberi sedikit sebanyak gambaran realiti sebenar politik yang cukup bijak bermuka-muka. Sementara watak Joo Dan Tae mengawal media dan memanipulasi keadaan dengan wang adalah satu kebenaran yang memeritkan.

Sikap Dr. Ha yang memaksa Mr. Park mengaku membunuh Ro-Na juga cukup menjengkelkan. Pembunuh sebenar terlepas dan orang lain pula yang menjadi kambing hitam – macam pernah dengar,kan?

Kifarah Itu Benar

Setiap satu yang berlaku di sekeliling kita adalah saling berkait. Oh Yoon Hee bunuh anak Shim Su Ryeon demi nak lepaskan anak dia masuk sekolah elit dan balasannya, Ro-Na sendiri mati – malah sama seperti kematian Seol-A iaitu jatuh dari tempat tinggi.

Begitu juga apa yang terjadi kepada Cheon Seo Jin yang pada usia mudanya cukup berhati kering bagi memastikan Oh Yoon Hee tidak akan dapat apa yang sepatutnya.

Penyudahnya, dia kini bagai hilang satu persatu apa yang dimiliknya malah lebih teruk lagi, dia kini ibarat sampah kerana segalanya akan dirampas Joo Dan Tae.

Sayangkan Dunia

Kehidupan yang terlalu mengejar kesempurnaan, harta dan juga pangkat tidak menjamin kebahagiaan. Lihatlah sendiri kehidupan watak di dalam drama ini yang kebanyakannya memang hidup mewah.

Namun dalam masa yang sama, bahagia dan tenteram entah ke mana. Malah sifat tamak semakin memakan diri. Anak yang dibelai dengan kemewahan pula bakal memakan diri ibu bapa mereka sendiri.

Itulah ingatan yang paling jelas di dalam drama ini. Mungkin apa yang disampaikan di dalam drama ini agak melampau namun jika dilihat semula secara realitinya, kita semua kadang-kala mempunyai sisi gelap masing-masing.

Atau mungkin ada kesilapan lampau yang mahu dilupakan. Ini kerana kita terlalu sayangkan dunia, sebab kehidupan ini adalah sesuatu yang indah untuk ditinggalkan. Apa pun beringatlah agar tidak tersasar jauh dari landasan sebenar.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.